Memandangkan Samarahan berdekatan dengan Kuching (Sarawak pada asalnya), ia mempunyai sejarah yang besar dan berterusan. Di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, Samarahan menjadi sebuah jajahan yang penting. Lembah atau Sungai Sadong merupakan sebuah kawasan tanah subur yang sesuai untuk pertanian, khususnya penanaman padi.
Disebabkan itu ramai juga orang Melayu Brunei telah berpindah dan tinggal di Samarahan, termasuk juga orang-orang bangsawan. Melalui satu perjanjian pada tahun 1853, Samarahan dan Sadong telah diserahkan kepada James Brooke oleh Sultan Omar Ali Saiffudin.
Negeri Sarawak di bawah Tuan Besar James Brooke hendaklah membuat bayaran tahunan $1500 sebagai gantian kepada kehilangan cukai dan ufti. Bahagian Samarahan telah diwujudkan pada 24 Julai 1986 dengan menggabungkan tiga daerah iaitu Simunjan, Serian dan Samarahan.
Pada hari ini, Bahagian Samarahan sedang membangun dengan cepat dan pesat dan Kota Samarahan sebagai pusat pentadbiran bahagian dikenali sebagai Bandar Ilmu kerana wujudnya UNIMAS, UiTM, IPG dan lain-lain.
Sumber: Pentadbiran Bahagian Samarahan