Inilah pengorbanan seorang Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Labang, Sebauh, Bintulu. Mingkul Damu setia berada di sekolah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya untuk memastikan bahan pengajaran dan pembelajaran sampai kepada anak muridnya menerusi dalam talian.
Ada masanya liputan internet tidak baik, namun semua bahan dimuat naik dan dihantar menggunakan aplikasi Whatsapp kepada ibu bapa. Ini susulan kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman dan perkara ini pasti menyukarkan urusan untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid.
“Siapa yang tidak mahukan liputan dan akses internet yang baik, bayangkan kalau ada akses yang baik mereka tidak akan membuang masa dan banyak aplikasi dalam talian boleh digunakan.
“Sebagai contoh Google Classroom serta banyak lagi dan cuba bayangkan kalau akses internet di sini mantap, pasti banyak perkara dapat disampaikan kepada mereka,” – Mingkul Damu
Bagi ibu bapa di sana, usaha ini membolehkan anak-anaknya menghargai masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran.
“Memang berkesan inisiatif seperti ini, anak-anak saya tidak membuang masa melakukan sesuatu yang tidak berfaedah malah mempersiapkan mereka untuk kembali ke sekolah semula nanti.
“Tetapi satu cabaran terbesar buat kami ialah liputan yang kurang memuaskan dan akses kepada internet tidak sebaik di kawasan-kawasan bandar,” – Bujang Michie, bapa pelajar