1. Datuk Seri Fadillah Yusof – Menteri Kanan: Menteri Kerja Raya.
Datuk Seri Fadillah Yusof dilahirkan di Kampung Hilir Sibu pada 17 April 1962. Beliau merupakan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ahli Parlimen Petra Jaya.
Selain menjawat jawatan Naib Yang Di Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), beliau juga pernah memegang dua portfolio dalam Kabinet Persekutuan iaitu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (2008 sehingga 2013) dan Menteri Kerja Raya (sehingga Mei 2018).
2. Datuk Alexander Nanta Linggi – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Datuk Alexander Nanta Linggi dilahirkan pada 16 Jun 1958. Beliau merupakan Ahli Parlimen Kapit dan juga Setiausaha Agung bagi GPS.
Alexander pernah memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bermula 16 Mei 2013 sehingga 10 Mei 2018.
Selain itu, beliau menjadi Ahli Parlimen Kapit sejak 1999 mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Untuk kerusi tersebut, Alexander pernah menang dua kali tanpa bertanding iaitu pada 2004 dan 2008.
3. Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Dilahirkan pada 1 Februari 1946, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mula menyertai politik sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar (1990-2004).
Selepas itu, beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen Santubong (2004- sehingga kini) mewakili PBB
di awal kerjayanya, beliau pernah menjadi Ketua Platun Pasukan Polis Hutan berpangkat Inspektor dan aktif sebagai Presiden Persatuan bekas polis Malaysia (PBPM) Sarawak.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai peguam. Pada 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Seterusnya sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri untuk Kabinet Malaysia 2013 hingga 2015.
Beliau yang membesar di Kampung Pendam, Sadong itu juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dari 28 Julai 2015 sehingga 10 Mei 2018.
Beliau pernah mendapat pendidikan tinggi di England dan Amerika Syarikat dan memperolehi Ijazah Doktor Pengurusan Perniagaan (DBA) dari University of Southern California, Amerika Syarikat.
4. Datuk Seri Nancy Shukri – Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
Datuk Seri Nancy Shukri dilahirkan di Kuching pada 5 Ogos 1961 dan merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong. Beliau juga merupakan Naib Ketua Wanita 1 PBB yang merupakan satu daripada empat komponen GPS.
Beliau pernah memegang portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 sehingga 2018. Antara lain pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Perkhidmatan Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selama 11 tahun.
Seterusnya sebagai Setiausaha Politik kepada mantan Ketua Menteri yang kini merupakan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau yang berketurunan Iban-Cina-Scotland-Melayu-Melanau merupakan pemegang Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan UiTM-Universiti Ohio pada 1998.
Beliau turut memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan Kepujian dari University of Hull United Kingdom pada 1990 dan Diploma Pentadbiran Awam UiTM pada 1985.
Sumber: Astro Awani